Tuesday, October 19, 2010
Antara 2 Pilihan Rumah
Dalam kehidupan kita, seringkali tiba waktu yang mana kita perlu membuat pilihan antara dua, A atau B. Contohnya, ke mana mahu dituju pada cuti sekolah akan datang, Port Dickson atau A Famosa Resort, masak lemak atau sambal tumis, baju merah atau baju biru dan pelbagai kombinasi lagi.
Namun manusia selalu terlupa suatu aspek yang penting dalam membuat pilihan. Masing-masing lebih cenderung kepada pilihan hati yang selalunya bertunjangkan nafsu. Alangkah moleknya jika di hati kita dilengkapi sensor yang sentiasa dapat mengesan pilihan Allah, bukan pilihan nafsu semata.
Contoh:
Membuat pilihan untuk membeli antara 2 buah rumah (untuk tinggal sendiri):
Rumah A: 2 tingkat, 25x75, lot tepi (corner), rumah baru, jauh dari Masjid/Surau, tiada khariah surau
Rumah B: 2 tingkat, 20x65, lot tengah (intermediate), rumah lama, boleh berjalan ke Masjid/Surau, khariah surau yang aktif
Hakikatnya rumah A sangat menarik kerana pertama, ianya rumah baru yang pastinya "tidak secomot" rumah yang dibeli atas orang. Kedua, saiznya yang lebih besar dan mempunyai tanah di tepi rumah untuk projek lanskap.
Rumah B adalah jauh lebih kecil, memerlukan wang tambahan jika mahu diubahsuai untuk menjadi lebih selesa seperti Rumah A.
Walaubagaimanapun, jika kita memilih rumah A, kemungkinan besar kita telah meminggirkan dan menyukarkan kewajipan suami dan anak-anak lelaki kita untuk menunaikan solat berjemaah di surau/masjid setiap waktu. Perkara ini kurang diambil pusing apabila kita memilih rumah idaman kerana kita yakin asalkan solat 5 waktu, ia sudah memadai.
Peringatan untuk diri, carilah rumah yang boleh kudengar azan berkumandang, boleh berlari suami ke surau apabila terjaga ketika azan Subuh berkumandang, sempat berbuka puasa di rumah sebelum bersolat Magrib di surau dan komitmen tinggi khariah surau untuk mengimarahkan rumah Allah. Ya Allah, Engkau ketemukan aku dengan rumah yang menjadikan kami, penghuninya cinta akan rumah-Mu, bukannya leka di dalam rumah sendiri. Makhbulkanlah doaku ini Ya Allah.
Apabila memilih rumah, pilihlah rumah yang dekat dengan rumah-Nya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment