Untuk mencapai kesenangan secara mudah, tanpa perlu fikir bersusah payah dan tanpa modal, ramai yang "terpedaya" dengan kaedah Overdraft (OD) untuk melabur di dalam ASB. Sudah kerapkali saya mendengar kenalan/kenalan kepada kenalan yang bersungguh-sungguh menggunakan teknik ini dan respon mereka - berjaya menjana keuntungan. Wallahualam.
Status kehalalan/keharaman ASB tidak mahu saya bincangkan di sini, cukuplah dengan perbincangan matang dan panjang lebar dalam website UZAR sebagai rujukan. Persoalannya di sini, bolehkah menggunakan Overdraft Bank yang tidak Islamik untuk pembiayaan ASB? Apabila soalan ini ditanya kepada UZAR:
Soalan: Apa hukum kalau kita convert simpanan ASB kepada sijil dan apply OVERDRAFT Facilities kat mana - mana bank?
UZAR : Hampir semua overdraft facility adalah riba dan haram. Overdarft yang halal ada ditawarkan oleh Maybank islamic dan RHB Islamic Bank setakat pengetahuan saya.
Bagaimana pula jika anda sudah melibatkan diri di dalam urusniaga riba' seperti ini? Adakah jalan keluar untuk melangsaikan pinjaman berasaskan riba' secepat mungkin sebelum malaikatul maut datang menjemput? Ramai yang selama ini tidak sedar bahawa mereka sudah terjebak dengan dosa riba'. Ini kerana nasihat kewangan Islam sebegini tidak dibekalkan oleh kebanyakan ibu bapa (kerana kekurangan ilmu agama) dan kurikulum agama di sekolah juga tidak membantu.
UZAR ada menulis artikel bertajuk "Ingin Kemudahan Wang Secara Halal?" pada Mei 2007. Samada maklumat tentang bank berkenaan masih "valid" atau tidak, saya kurang arif. Namun ini mungkin salah satu daripada Exit Plan Strategy yang boleh diambil mereka yang mahu melepaskan diri dari dosa besar riba'.
Suka saya mahu kongsikan pendapat Tuan Shamsuddin Kadir, penulis 6 buah buku, antaranya "Hidup Tenang Walaupun Berhutang" berhubung masalah OD untuk ASB ini.
Shamsuddin Kadir Apabila kita menerima RM 50 dari seseorang kita tidak dapat bezakan sama ada duit itu adalah duit halal ataupun duit yang dihasilkan melalui sistem Riba. Walau bagaimanapun duit haram itu tetap dapat dilihat secara jelas dan terang bermula kita disemadikan di liang lahad. Berhati-hati dengan perlaburan yang berlandaskan overdraft yang tidak islamik yang disandarkan kepada ASB. Kaya di mata dunia, Muflis di Akhirat.
‘Wahai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah, dan tinggalkanlah saki baki RIBA jika kamu beriman, jika kamu engkar, maka istiharkanlah perang terhadap Allah dan Rasulnya.” Ayat 277 - 278 Al-Baqarah (untuk bacaan sepenuhnya rujuk kepada Terjemahan Al-Quran).
Ini adalah ayat yang menunjukkan dosa yang Tuhan paling marah. Itu kata Imam Maliki. Bulan Ramadhan adalah bulan untuk kita membebaskan dan membersihkan kita dari sisa ataupun saki baki riba yang ada dalam diri kita. Semoga nyawa kita tidak diambil dalam masa kita masih tidak sempat menutup akaun-akaun RIBA.
Iman Hanifa memaklumkan, inilah ayat yang beliau paling takut untuk membacanya, di akhirat nanti, manusia-manusia yang mengambil dan menyokong institusi berlandaskan riba untuk dibunuh seperti mana pengistiharan perang oleh Allah dalam Al-Quran.
Sumber: ShamsuddinKadir.com 16 Ogos 2010